Tuesday, May 21, 2013

Mengapa?

Mengapa orang arab jahiliyyah boleh percaya Nabi bertemu Jibril? Mengapa mereka boleh percaya apa yang diucapkan oleh Muhammad saw mengenai beriman kepada ALLAH dan hari kemudian? Mengapa mereka boleh percaya dengan peristiwa Israk dan mikraj? Mengapa mereka boleh berhijrah ke Madinah.? Mengapa mereka sanggup berlapar sedang mereka mendirikan sembahyang? Mengapa mereka sanggup berkaki ayam meranduk medan perang? Mengapa mereka sanggup berkongsi sebiji tamar diantara 60 orang? Mengapa mereka sanggup memaafkan individu yang meragut nyawa insan tersayang bila individu tersebut memeluk Islam? Mengapa mereka sanggup berpisah sebagai suami isteri atas arahan Nabi saw? Mengapa, mengapa dan mengapa?
 
Mungkin kita rasa kerana mereka berbangsa arab dan Nabi Muhammad saw juga datang dari bangsa yang sama. Kalau begitu mengapa pula bangsa melayu Malaysia selepas zaman  melayu Melaka dipermudahkan keIslaman mereka dengan melalui proses kelahiran terus kedalam keluarga Islam? Sedangkan ada bangsa-bangsa lain yang tidak mendapat kemudahan sebegini. Banyak lagi mengapa yang akan muncul, jika kita terlupa kepada Pencipta persoalan yang melahirkan perkataan 'MENGAPA'.

Semuanya kerana Iradah @ kehendak ALLAH. Jadi mengapa tidak kita yang juga mempunyai kehendak, meneliti adakah kehendak kita selalunya sama dengan kehendak ALLAH. Tidakkah semestinya kehendak ALLAH sudah tentu lebih baik dari kehendak kita? Maka bila kita menerima kekurangan mengapa kita selalu merasa kurang? Apa kelebihan yang kita ada untuk kita menolak sesuatu kekurangan? Sedang kita hanyalah barang ciptaan yang banyak bertanya tetapi terlupa mengapa kita tercipta? Sekali lagi ALLAH sebagai jawapan.

Hari ini kita bertanya kepada mereka yang juga terlupa mengapa mereka dicipta. Maka jawapan yang diterima adalah sebagai penyelesaian sementara yang tidak mengembalikan kita kepada pencipta 'mengapa' itu sendiri, sedang kita berpuas hati tanpa mendapat isyarat jelas bahawa kita tidak menghampiri kebenaran. Maka musuh zahir dan bathin meresap masuk kedalam politik, sosial, ekonomi, budaya, fesyen dan musik serta menunggu perselisihan agar mereka sentiasa berada ditengah untuk memberikan jawapan yang menyesatkan,

Perlulah kita bertenang semasa ribut bergelora supaya kita tidak buntu bila bumbung rumah kita bocor atau bila tingkap terbuka. Adalah tidak bijak semasa ribut bergelora kita meredah ribut untuk melihat lembu dikandang, sedang anak isteri mengigil dirumah sendiri. Maksudnya ada perkara yang kena kita uruskan dan ada perkara yang kena kita serahkan pada ALLAH. Kerana ALLAH tidak pernah menzalimi ciptaannya. Peluang yang kita terima ini hendaklah kita serahkan kembali kepada ALLAH sebagai sikap tawakkal sambil melihat dimana lagi kekurangan yang perlu kita baiki selagi belum turunnya kiamat.

No comments: