Sunday, May 19, 2013

Aku Perlukan Ulamak Sebagai Pemimpin !!!

Persoalan yang belum selesai membuahkan pelbagai keadaan. Dijalanan masih lagi berombak lautan manusia yang diolak ribut seruan protes yang tidak berpuas hati dengan penipuan PRU 13. Diakhbar dan TV penafian terhadap penipuan dijelaskan dengan serendah-rendah suara yang memungkinkan lahirnya simpati dari mereka yang tercungap-cungap kelemasan ditengah keadaan.  Di FB dan laman sosial, tercetusnya pelbagai pertikaian antara beberapa pihak dengan gaya pendita dan pendosa yang percaya kepada pendapat masing-masing. Saya dan admin yang mengelolakan fanpage saya juga terpisah diatas pendapat masing-masing. Dia bersetuju dengan aktiviti jalanan dan saya berpegang kepada pendapat Ulamak PAS yang tidak bersetuju dan Presiden yang tidak menggalakkan.

Kepada mereka golongan yang pandai dan tinggi persekolahannya, mereka percaya apa yang mereka perbuat adalah betul. Kerana sepanjang usia muda mereka telah dihabiskan dengan bersungguh-sungguh untuk mereka melepasi ujian dan peperiksaan sebelum disahkan sebagai orang yang pandai. PKR umpamanya, terdiri dari mereka yang mempunyai nilai pendidikan yang hebat dan ideologi yang progressif, selain dari gaya harian yang ranggi sebagai pencapai status tamadun terkini. Juga tidak dinafikan bahawa pendokong UMNO terdiri dari mereka yang berlatar belakangkan universiti-universiti tersohor dunia, keluarga bangsawan dan cara gerak laku yang mencapai status ketuanan. Bahkan ada diantara mereka "dipandaikan" diuniversiti yang sama. Maka sudah tentu ketua-ketua mereka terpilih dikalangan kelompok yang paling bijak, sehingga setiap kenyataan dari ketua-ketua ini dipertahankan oleh penyokong masing-masing. Lanjutan dari itu, pengikut masing-masing pula meluahkan kata-kata dilaman maya mahu pun masyarakat nyata mengikut kadar pandai sendiri, hingga ada diantara mereka tidak sedar, tersepit dalam ruang perjuangan tersirat kerana terperangkap dilantai menifesto yang tersurat.

Lantas bagaimana saya? Ahli biasa PAS yang diarahkan untuk terus berjuang menentang khurafat dalam pemerintahan. Apa kekuatan yang ada pada saya untuk dibandingkan dengan mereka yang diatas? Kepandaian dan kekuatan ideologi yang berada dibawah par, kekuatan harta dan jiwa yang tidak setara dengan kekuatan seekor penyu dan jauh dari imej sebagai seorang penyokong tegar. Sedangkan PAS itu sendiri sebagai sebuah parti yang terlahir lima tahun setelah besarnya UMNO, dipandang sebagai parti "lebaian" dan "comot" dibandingkan dengan arus pembangunan tamadun moden. Terkini PRU 13, memberikan persepsi bahawa PAS tidak mempunyai kemungkinan untuk memerintah berbanding DAP. Lebih dahsyat lagi lantaran kepercayaan kepada slogan-slogan propaganda, seperti "ini kalilah" dan macam-macam lagi menyebabkan tumbuhnya pelbagai teori kempen berbentuk semasa dalam PRU 13. Hingga ada ahli PAS yang menulis didalam FB, jangan membicarakan isu syurga dan neraka sebagai bahan kempen kerana ianya akan membuat PAS bakal kalah. Sebagai gantinya isu ekonomi dicadangkan menjadi bahan kempen PAS kerana ada golongan yang sudah tidak sabar untuk mendapatkan cuti kemenangan, seolah-olah mereka membiarkan ALLAH melihat PRU 13 tanpa berkehendak keatas agamanya dibumi Malaysia. Selepasnya timbul pula implikasi dari beberapa perselisihan pendapat dan kehendak, contohnya kes Kota Damansara, kes Sungai Acheh dan kes Husam Musa serta kekalahan PAS di Kedah, telah membiakkan sentimen baru dimana munculnya puak yang melupakan peranan ULAMAK didalam perjuangan dan yang lebih bahaya alun kecil ini bakal menjadi ombak besar untuk menolak ULAMAK dari gelora perjuangan.

Kembali kepada saya yang menjadi ahli PAS kerana ingin dipimpin oleh mereka yang berjuang untuk beramal soleh didunia dan beriman dengan hari akhirat. Kepercayaan ini tidak boleh diketepikan lagi walau pun datangnya Doktor Fathul Bari dengan berbaju merah, membacakan serapah, kerana kasih  kepada ummah. Semakin hari kepercayaan saya bahawa setiap dosa yang pernah saya lakukan akan mendapat balasan siksa dari ALLAH jika stock pengampunan tidak saya perolehi. Untuk itu bagi menggantikan dosa yang lalu saya mencari hidup berkebajikan dan memberikan kebajikan pada Agama, diri dan makhluq. Maka saya perlu sandaran. Mungkin ULAMAK haraki PAS tidak berpakaian sekacak pemimpin UMNO yang mempunyai pelbagai tema, atau kalau nak dibandingkan dengan AJK PAS sendiri, seperti Dato' Mahfuz, Salehuddin Ayub, Husam Musa, Haniffa Maideen atau yang paling simple, saudara Khalid Samad, tetapi tidakkah kita percaya bahawa nikmat hidup yang kita rasai hari ini adalah kerana adanya keberkatan ULAMAK sebagai pewaris NABI-NABI yang merahmati seluruh alam. Apakah sudah luntur kepercayaan kita kepada kekuatan ghaib yakni ALLAH? Dengan sebab saya tiada berilmu dan lemah dalam mujahadah, maka agar tidak tertipu dengan mainan dunia yang pelbagai, dimana ramainya manusia yang pandai, maka saya belajar untuk taat kepada pemimpin yang taat kepada ALLAH dan RASUL. Yakin dengan taqdir ALLAH meletakkan saya sebagai pejuang, maka tidak saya bergerak secara sia-sia melainkan setelah ULAMAK berkata sebagaimana ALLAH berkata, dan saya mohon mati sebagai HAMBA. ALLAHUAKBAR.



No comments: